Saturday, February 28, 2009

TEDUHAN INI

Di teduhan ini 

Hanya yang ada di teduhan ini

mampu menggurati dalamnya makna

kesepian, kegusaran, keraguan

Mampu menyulami tegarnya makna

ditinggalkan, dipisahkan, dihinakan


Teduhan ini 

Cuma teduhan yang biasa

teduhan yang ruwet diselenggara

Penghuninya rapuh dalam ketawa

Mata yang melihat tersenyum berbisa



Teduhan yang biasa

Mahukah kau berteduh di sini?

Merasai semua yang terjadi?

Menentang semua yang mara menanti?

Berjuang mempertahankan hak yang dinafi?



Berteduhlah di sini

Meski teduhan ini serba tiada

Meski teduhan ini penuh hiba

Meski teduhan ini sarat derita



Berteduhlah

Teduhan ini menjanjikan bahagia

Bahagia yang tiba selepas derita

Pelangi indah selepas hujan lebat

Lembah yang subur selepas tanah retak terbelah



Pada teduhan

Teduhan yang memberi erti

Erti sebuah diri

Diri dalam sepi

Sepi seorang insani

Insani makhluk Ilahi



Wahai teduhan yang kukuh berdiri

Di perutmu penuh misteri

Penghuni yang bahagia mengisi

Sungguh terkadang derita menyisih



Wahai penghuni teduhan

Kaulah insan pilihan

Menghuni sebuah teduhan

Yang berdiri dengan kalimah Tuhan



Wahai penghuni pilihan

Walau ujian datang bersilih

Kau tetap insan terpilih

Lantaran itu kau tidak sedih

Walau diri terkadang disisih



Teduhan dan insan terpilih

Jalan hidupmu telah digaris

Oleh tangan Maha Pengasih

Itulah nikmatnya

Tatkala ribut berdesir

disambut dengan senyuman menyihir.