Monday, December 14, 2009

JULANGAN TROFI DOSA


Sesekali aku tergamam
Melihat zahirnya yang penuh iman
Petah berbicara soal perjuangan
Fasih menyusun bait kesopanan
Tega menutur kalam omongan

Aku terdetik
Bagaimana bisa manusia sealim dia
Mana mungkin manusia sefaqih dia
Mana mungkin manusia sebaik dia
Lancar berkisah soal berbuat dosa

Aku itu siapa
Dia itu siapa
Mungkin jawaban selayaknya
adalah ‘hamba tuhan’
Sama sahaja tiada bezanya

Namun ... aku yang biasa
Tidak mampu melihat dia yang luar biasa
Berbicara dengan megahnya saat berbuat dosa
Tidak mampu mendengar dia yang luar biasa
Berkisah dengan biasanya tika diri hampir berbuat dosa

Ya Allah
Yang Maha Mengetahui
Yang Maha Perkasa
Yang Maha Pengasih dan Penyayang
Hanya pada Mu, aku mohon pada Mu

Aku masih bertatih dalam amalanku
Namun bagiku, dia bukanlah serendah nilaian diriku
Pasti bisa berlari jauh bila beramal kepadamu
Maka, bantulah aku dan dia
Agar sama-sama jauh dari berbangga dengan dosa

Aku pohon pada Mu ya Allah
Pimpinlah kami dengan tangan mahabbah Mu
Tuntunlah kami dengan zat bijaksana Mu
Khabarilah kami akan salah kami dengan hikmah Mu
Janganlah Kau jauh dari hidup kami

Aku harap kepada Mu
Janganlah Kau menyasarkan kami jauh dari landasan Mu
Janganlah Kau biarkan kami menyimpang dari redha Mu
Janganlah Kau abaikan kami andai sering menjulang trofi dosa di muka bumi Mu
Tegurlah kami dengan teguran cinta Mu
Nasihatilah kami dengan kalimah agung Mu
Lembutkan hati kami dengan damai Mu

Trofi dosa
akan segera kami jauhkan
Trofi dosa
akan segera kami kuburkan
Trofi dosa
akan segera kami elakkan

Sesungguhnya
Julangan trofi dosa itu kerana
jahilnya kami dalam menilai rahmat Mu
Julangan trofi dosa itu kerana
butanya kami dalam menilai indahnya pahala Mu
Julangan trofi dosa itu kerana
alpanya kami dalam menilai syurga Mu

Astaghfirullahal ‘adziiim ...