Friday, August 26, 2011

AQIDAH, HIDAYAH DAN IBADAH


Bismillahirrahmanirrahim … malam 27 Ramadhan 1432 Hijrah. Semoga kalam perkongsian atas nama Tuhan ini memberi peringatan dan panduan kepada kita sebagai hamba Allah s.w.t dalam menggapai redha dan kecintaan NYA. Lantas, mendekatkan kita semua dengan manusia yang sama-sama mencintai Tuhan kita yang Agung iaitu Allah azza wa jalla amiiin.

* * *

Dunia tanpa sempadan semakin menghakis batas kemanusiaan manusia dalam berfikir dan bertindak. Lebih banyak kita mengejar perubahan, semakin banyak yang kita kehilangan. Well, thats the price that we have to pay. Masya Allah. Bukan mahu menganalisis perubahan dunia yang bersifat kapitalis. Tapi, sekadar meluah pemikiran sebagai hamba Allah dari sudut pandang yang berbeza dari kebiasaannya. Aqidah, hidayah dan ibadah adalah perkara-perkara syarie yang jarang diletakkan dalam alur perbicaraan yang sama walaupun berpasakkan tunjang yang satu iaitu syariat Allah s.w.t.

Melihat kepada fenomena dunia sekarang; alhamdulillah ramai yang peka pada isu ibadah umat Islam yang semakin diasak dengan perkembangan dunia. Lebih-lebih lagi dari sudut berpakaian. Apa yang diri kerdil ini hendak perkatakan bukanlah sebatas meluah rasa. Berfikirlah dengan minda yang lapang dan hati yang terbuka. Ya, penilaian manusia pada fesyen dan pakaian terkadang melibatkan peribadi seseorang itu. Sedangkan, berpakaian mengikut syarak adalah tuntutan manakala peribadi adalah asuhan dan ketetapan prinsip seseorang. Bukanlah diri ini mahu berdiri menjulang sepanduk di pihak yang nyata tidak mengikut hukum syarak. Namun, diri ini menyeru supaya pandanglah mereka yang ‘segelintir’ ini dengan pandangan kasih sayang kerana belum diberikan keinginan yakni hidayah untuk berubah. Tidak sekali-kali memandang mereka dengan pandangan benci lantas menghukum peribadi mereka tanpa kita tahu yang sebenarnya. Na’uzubillahi min dzalik.

Rasulullah s.a.w tidak pernah mengajar kita melalui sunnahnya dalam meletakkan ‘label’ kepada mereka yang ‘segelintir’ ini. Malah, Baginda mendidik kita sebagai umatnya agar saling mengenali dan memahami. Hebat sangatkah kita yang juga umat Muhammad ini apabila menyarung jubah, berkopiah atau bertudung labuh ini? Itukah syarat-syaratnya untuk menghirup kemanisan jannah NYA? Jawablah persoalanku ini dengan jawaban yang lahir dari hati yang suci tanpa prejudis. Salahkan kita untuk menjadi qudwah hasanah yang baik kepada mereka? Senyum? Sukarkah kita walau hanya sekadar menguntum senyuman yang ikhlas tanpa secalit prasangka? Jawablah soalan-soalanku ini dengan minda yang waras. Kita beruntung kerana mungkin dengan keberkatan doa nenek moyang kita yang terdahulu, laluan dan haluan hidup kita kelihatan indah, terjaga dan mengikut acuan syarak. Tapi, mereka bagaimana? Mahu membanding itu haruslah sama ciri-cirinya bukan membanding tanpa usul periksa.

Ibadah adalah tanggungjawab dan amanah Allah kepada hamba NYA. Ramai yang kulihat menjaga ibadahnya meski dari sudut berpakaian mereka agak kekurangan. Berbanding dengan mereka yang menutup aurat yang katanya sempurna dengan bertudung (khususnya wanita) itu, ada yang tidak menjaga kata-kata dan tingkah laku dengan manusia lain. Bagaimana dengan fungsi pakaian yang menutup aurat itu mampu menjaga lisan dan perlakuan kita sebagai Muslim? Semoga kita semua tidak diuji dengan hal yang sedemikian. Apa yang boleh kukatakan adalah hidayah itu milik Allah. Maka, Dia akan memberikan hidayah itu kepada sesiapa sahaja yang dirasakan wajar. Kita apabila melihat mereka yang ‘segelintir’ itu belum diberi hidayah; berdoalah agar Allah dengan limpahan kasih sayang NYA mengusai jauh hal-hal yang menjadi penghalang bagi mereka dalam menerima hidayah yang merupakan milik Allah itu. Tidak hanya berkata nista dan membuat cerita atau mengada-adakan suatu yang tiada. Itu menempa ‘riba percuma’ namanya.

Kita yang kononnya terpelihara ini, janganlah takabbur untuk memohon agar sama-sama diberi hidayah agar tidak kita suatu hari nanti dibalikkan kepada keadaan mereka yang ‘segelintir’ itu. Na’uzubillah ... Ya, hidayah yang didamba dan ibadah yang diperkasa ~ jaminan Muslim mu’min yang sejahtera serta dekat dengan redha NYA insya Allah. Seterusnya aqidah yang sering kita terlupa apabila berbicara soal ibadah dan perilaku manusia. Sedarkah wahai manusia yang sering terlupa, bahawa aqidah Muslim kita sedang dihakis ‘lembut’ oleh pihak yang derhaka pada syariat NYA? Sibuk kita dalam menilai teman dan saudara seagama tentang jeleknya mereka dalam menjadi hamba NYA apabila kurang dari sudut pengabdiannya pada ajaran agama. Lalu, soal aqidah mahu diketepikan begitu sahaja?

Masihkah kita ingat, pertama sekali yang dibawa Rasulullah s.a.w. yang kita cinta adalah aqidah iaitu mengenal Allah s.w.t? Baginda tidak mulakan ajaran Islam dengan perintah ibadah tapi mengenalkan Tuhan itu siapa. Indahnya kronologi yang disusun baginda dalam menjadi pesuruh Allah. Pantas saja baginda adalah kekasih Allah yang agung, tiada dua. Logiknya diakal manusia, bolehkah seseorang itu diperintahkan melakukan sesuatu tanpa tahu atas sebab apa dan disandarkan kepada siapa. Pasti tiada siapa yang menurut, umpama melakukan sesuatu yang sia-sia jika manhajnya kabur semua.

Oleh sebab itu, aqidah perlu dititikberatkan. Sampaikan ada yang masih ragu-ragu mereka beribadah untuk siapa dan kenapa. Inilah yang dinamakan ‘kita yang ikut-ikutan’ bukan ‘kita yang yakin dalam beragama’. Allahuakbar. Mari kita sama-sama analisis minda dan hisab amalan kita. Adakah kita di kelompok yang pertama? Andai kita diserang dengan ideologi dunia oleh pihak yang derhaka pada syariat NYA kerana ‘indahnya pakaian kita yang kononnya sempurna’, mampukah pakaian atau ibadah yang kelihatan pada zahirnya itu menjawab dengan fasih sedangkan aqidah kita hanya layak membisu tanpa suara? Sekali lagi, diri ini yang sangat cetek dalam berbicara perihal agama Islam kita yang syumul ini ingin menegaskan bahawa diriku bukan berdiri di pihak yang melanggar tuntutan syariat NYA tapi memohon kebesaran hati Muslim mu’min yang menghiasi hidup dengan Islam agar membuka mata bagi meningkatkan kualiti aqidah kita sebelum mula meletakkan label kepada saudara seagama kita yang mungkin kurangnya cuma seinci dua dari kita.

Ingat, yang menilai itu bukan manusia. Yang memberikan dosa dan pahala juga bukan manusia. Lalu atas sebab apa kita sering menilai dan me’label’ mereka, bukannya mendorong dan memimpin tangan mereka? Jangan sampai muslim yang akur beribadah tanpa tahu kenapa dia beribadah lebih mudah diserang aqidahnya kerana kurang yakinnya pada agamanya.


Lets hand in hand to enhancing our aqidah towards achieving beautiful hidayah and gather the strengh to istiqamah in ibadah, lillahita’ala insya Allah.

* * *

Mohon maaf andai artikel ini tidak disokong dengan dalil-dalil al-Qur’an dan Sunnah yang lengkap. Insya Allah, semoga diberi ilham yang jauh dari fitnah bagi menambahbaik artikel ini pada kelapangan yang akan datang. Cukuplah jika ambil ia sekadar perkongsian minda sesama manusia di bulan RAMADHAN yang penuh baraqah ini. Sebarang respon atau perkongsian dialu-alukan.

Hasbiyallahu wa ni’mal wakiiil.

adibah_te@yahoo.com ~ feel free, drop a line ^^